Sudah menjadi kebiasaan apabila ada sahaja waktu senggang lantaran tiada kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia atau ingin membasuh pa­kaian, dia akan bertandang tamu di rumah penulis beberapa hari. 

Air di rumah tiada terus katanya. Kepala paip sudah tidak lagi mengeluarkan air. Mujurlah ada beberapa baldi air yang sudah disimpan, dapatlah digunakan untuk mandi dan bersuci diri.

Tidak kurang juga, beberapa botol besar air mineral yang pada asalnya untuk kegunaan minuman turut menjadi mang­sa bekalan kecemasan.  

Ya, penulis merupakan salah seorang daripada lebih dua juta rakyat di Selangor yang menjadi mangsa krisis air di Lembah Klang.

Ironinya, ketika kepala paip di lebih 500,000 buah rumah pengguna tidak lagi mengeluar­kan air, hampir setiap petang hujan turun mencurah-curah di kebanyakan kawasan di Lembah Klang.

Hakikatnya, kemarau bukanlah isu utama kepada krisis bekalan air ketika ini. 

Apatah lagi sebagai sebuah negara beriklim Khatulistiwa yang menerima taburan purata hujan tinggi sepanjang tahun, cuaca panas tidak sepatutnya dipersalahkan disebabkan masalah ketiadaan air.

Masalah pengurusan air di Lembah Klang hakikatnya bukanlah satu isu baharu. Pakar-pakar serta pemain industri seperti Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sejak lebih 10 tahun lalu sudah memberi amaran kegawatan air di Lembah Klang bakal berlaku pada tahun 2014.

Kebanyakan loji sedia ada sudah beroperasi secara maksimum dan tidak lagi seiring dengan urbanisasi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang sangat pesat.

Namun, isu air tidak terkecuali sering menjadi mangsa politik kotor sesetengah pihak. 

Sebagai contoh, Loji Langat 2 yang dicadangkan untuk pembinaan bagi mengatasi kegawatan air menjadi projek ‘tarik tali’ yang mengambil masa begitu lama untuk diselesaikan.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sejak tahun 2010 secara berterusan enggan menerima cadangan syarikat konsesi supaya menaiktaraf ataupun membina loji rawatan baharu seperti Langat 2.

Projek Langat 2 yang sepatutnya siap pada tahun 2014 tertangguh selepas keengganan kerajaan negeri mengeluar­kan perintah pembangunan.

Hanya pada tahun 2014, projek itu disambung semula selepas empat tahun terhenti, itu pun turut tertangguh lagi beberapa tahun ekoran pertukaran pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang kini di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.   

Dengan edisi kegawatan air kali ini hanya beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Azmin bersama pemimpin pakatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh awal-awal lagi menunding jari ke arah Barisan Nasional dan syarikat operator air. 

Tapi mungkin mereka lupa, sejarah panjang Langat 2 yang bertahun-tahun tertangguh bukan salah orang lain tetapi dek permainan politik mereka. 

Malah, mengikut Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Kerajaan Selangor adalah pemilik aset air negeri yang bertanggungjawab memastikan ketersediaan bekalan air terawat di loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun ironi, ketika lebih dua juta rakyat di Lembah Klang terutamanya di Selangor hidup sengsara terputus bekalan air tapi nun di Shah Alam pada malam Jumaat lalu, Azmin, Hannah bersama pemimpin Pakatan Harapan dengah gah­nya melaung manifesto PRU-14 kononnya mereka bakal mem­bela nasib rakyat Malaysia.

Pemimpin-pemimpin besar PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara masing-masing bersilih ganti menanam tebu di tepi bibir di atas pentas dengan kata-kata hanya memerlukan 100 hari untuk menunaikan janji-janji mereka.
Persoalannya bayangkan selepas 3,650 hari memerintah pun sejak tahun 2008, rakyat Selangor yang hidup di bawah negeri termaju di Malaysia masih perlu mengemis mencari air. 

Lantas, bagaimana mungkin menjadi ‘penjaga’ rakyat jika hanya bijak bermanis mulut.