Saudi Gazette dalam laporannya baru-baru ini menyatakan bagi tempoh 10 hari terakhir Ramadan, daripada 162,000 bilik hotel yang berada di kawasan pusat Mekah, sebanyak 155,000 telah ditempah dengan bayaran pendahuluan. Harga bilik pada 10 hari pertama Ramadan adalah RM2,000 hingga RM2,700 termasuk hidangan berbuka. Harga tersebut meningkat kepada RM29,000 untuk 10 hari terakhir.

Penulis yang berpeluang menunaikan umrah pada 15 hari terakhir Ramadan di Mekah dan Madinah tahun lalu menyaksikan kesungguhan umat Islam dari seluruh dunia untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pada waktu malam, lautan manusia mengelilingi Kaabah, begitu juga mereka yang menunaikan solat sunat tarawih. Keadaan itu tidak berkurangan malah orang tetap tekun menunaikan ibadah sunat sama ada melakukan tawaf atau beriktikaf di Masjidilharam tidak kira siang atau malam.

Hujung minggu turut digunakan penduduk di sekitar Mekah untuk datang beramai-ramai ke Masjidilharam. Deretan bas memenuhi jalan raya berhampiran Masjidilharam. Penduduk tempatan sanggup bersolat di kaki lima walaupun suhu dan angin begitu panas.

Sesekali, terdapat pekerja menyemburkan air kepada mereka yang lalu-lalang bagi menyejukkan badan. Ia juga bagi mengelakkan berlakunya kejadian pitam atau pengsan akibat keadaan yang sangat sesak dan panas.

Penulis yang berbual dengan jemaah dari Pakistan mendapati mereka datang berkumpulan bersama ahli keluarga dan saudara-mara. Ada yang berusaha mengumpulkan gaji pertama semata-mata ingin mendapat fadilat berpuasa dan beribadah di Mekah dan Madinah.

Uniknya, warga tempatan iaitu orang Arab begitu pemurah. Mereka bukan sahaja berlumba-lumba beribadat malah tidak lokek mengeluarkan wang untuk bersedekah.

Menjelang waktu berbuka di Masjidilharam, akan terdapat golongan yang mengagihkan makanan kepada mereka yang berpuasa. Suasana pada 10 malam terakhir di Madinah juga tidak kurang hebatnya. Masjid an-Nabawi dipenuhi lautan manusia.

Pada malam terakhir, imam akan mengkhatamkan al-Quran malah doanya pada malam tersebut sangat dinanti-nantikan jemaah. Bilangan jemaah pada malam itu melimpah sehingga ke jalan raya. Selain itu, pada 10 malam terakhir ini terdapat satu malam paling istimewa iaitu Lailatulqadar. Sekiranya dapat melaksanakan ibadah pada malam tersebut, ganjarannya bersamaan dengan 1,000 bulan atau 83 tahun.

Jadi, tidak hairanlah, umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba dan berusaha untuk bersungguh-sungguh untuk berpuasa dan beribadah di kedua-dua tempat suci ini.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan selamat mengerjakan umrah kepada sekumpulan 98 jemaah daripada Maahad Tahfiz Darul Azhar (MTDA), Serdang, Selangor yang kini telah berada di Tanah Suci. Semoga mendapat umrah yang mabrur dan kumpulan ini telah menganjurkan umrah yang dikenali sebagai Rehlah Laila­tulqadar selama tiga tahun berturut-turut.

Istimewanya, terdapat 30 pelajar tahfiz turut serta dengan dua orang daripadanya mendapat tajaan penuh MTDA selain ada peserta yang menyertainya sejak program tersebut diperkenalkan. Ia juga peluang bagi pelajar berkenaan untuk memantapkan bacaan Al-Quran mereka dengan mendengar bacaan imam.