Kejadian itu menyebabkan Zulkfli Muhamed, 53, yang sebelum ini menjadi tempat bersandar keluarga hanya mampu menghabiskan masa dengan terlantar di atas katil dan dijaga sepenuhnya oleh isteri, Zaitun Hassan, 47, sejak setahun lalu.

Zaitun berkata, dia hanya bergantung hidup kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan serta sedikit sumbangan wang anaknya.
Katanya, dia reda ketentuan takdir apabila suaminya berkeadaan begitu hingga terpaksa dia bekerja keras mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan.

“Setiap bulan perbelanjaan kami hampir RM2,000 apabila suami saya memerlukan 15 tin susu sebulan yang harganya hampir RM100 satu tin serta lampin pakai buangnya. Jumlah itu belum lagi termasuk belanja harian dan persekolahan seorang lagi anak bongsu.

“Saya tidak dapat berjauhan dalam tempoh masa lama kerana suami memerlukan penjagaan rapi,” katanya ketika di temui pemberita di rumahnya di Kampung Jerek Baru, di sini hari ini.
Zaitun berkata, dia membuat karipap untuk tempahan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara di sini  bermula awal tahun ini dengan pendapatan RM30 sehari. 

Katanya, sedikit wang simpanan hasil kerja suaminya juga sudah habis dibelanjakan selama 28 hari menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.

“Pihak sekolah bersimpati dan memberi peluang untuk saya mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan suami sakit.

“Suami perlu diberi susu melalui tiub khas yang ditebuk di perutnya sebanyak tujuh kali sehari bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat milik Zaitun bernombor 221086152641 atau hubunginya di talian 01119965270. - K! ONLINE