Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Dalilah Yusoff, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama suaminya, Wan Halim Wan Bahrom, 54, menaiki kereta jenis Toyota Wish dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Ipoh.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu telah hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan di kanan lebuh raya.

kemalangan
Mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan mengambil anak mereka yang bersekolah di Negeri Sembilan.

 

"Insiden itu menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ahmad Adnan, cuaca di lokasi kejadian ketika itu hujan dan kemalangan tersebut turut menyebabkan kenderaan yang dinaiki mangsa rosak teruk pada bahagian hadapan.

Difahamkan, pasangan tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Negeri Sembilan untuk mengambil anak mereka yang bersekolah di negeri tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE