Sikap tanggungjawab yang didorong oleh perasaan cinta yang telah dilafaz sejak diijabkabul menyebabkan Siti Fatimah Nor Abdul Rahim, 36, yang tinggal di Kampung Lembaga di sini mengambil alih tugas ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi memastikan segala perbelanjaan keluarga dan kos perubatan suami mencukupi.

Siti Fatimah berkata, dia memohon orang ramai supaya mendoakan kesihatan suaminya, Mohd. Faizal Che’ Leh, 40, sempena bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

“Walaupun buntu memikirkan keadaan kesihatan suami tetapi kami sekeluarga masih mengharapkan kekuasaan Allah untuk memberi kesembuhan penyakit yang dideritai suami.

“Sebelum ini suami bekerja kampung dan selepas disahkan menghidap penyakit itu dia tidak lagi dapat melakukan sebarang pekerjaan bagi menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
     
Malah, katanya, selain terlantar di rumah, suaminya itu kerap dibawa melakukan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 
   
“Pada tahun 2017, suami saya mengadu sakit kepala dan sakit gigi sahaja sebelum dibawa menerima rawatan di Klinik Gigi Gua Musang, namun keadaannya semakin serius.
 
“Selepas itu, pada tahun lepas saya membawanya pergi membuat rawatan di HUSM telah disahkan menghidap kanser tahap empat dan hingga kini keadaannya belum berubah," katanya.

Pasangan suami isteri itu turut menerima sumbangan selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim sempena program Ziarah Kasihnya Ramadan. 

Siti Fatimah yang mempunyai empat anak berkata, pendapatannya sebagai guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM801 sebulan tidak mencukupi bagi menanggung kos perubatan suaminya.

Katanya, dia juga terpaksa menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya yang berumur antara 9 hingga 14 tahun.

“Setiap bulan kos perbelanjaan suami melebihi RM1,000 sebulan untuk membeli ubat dan susu sehingga terpaksa meminta sumbangan wang daripada adik-beradik.

“Setiap hari saya perlu beli satu tin susu  dengan harga RM43," katanya.
     
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) bernombor  153047914551 atau hubunginya di talian 013-9925067. K! ONLINE