Pengelola Bijaya Diraja, Pejabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, majlis itu akan berlangsung dari 9 pagi hingga 2 petang.

"Tuanku Muhriz dijadual berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat pada pagi itu dan kemudian berangkat ke Istana Besar Seri Menanti untuk majlis Istana Terbuka. Kita jangka 5,000 orang akan hadir pada majlis tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, majlis itu yang diadakan setiap tahun memberi peluang kepada rakyat jelata berhari raya bersama baginda.

Katanya, seluruh rakyat dijemput hadir dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan pada majlis tersebut. - Bernama