Pemimpin AS sebelum ini termasuk Obama dan George W. Bush keberatan membuat keputusan kontroversi itu walaupun natijahnya, Washington menyokong Baitulmuqaddis menjadi ibu kota rejim Zionis.

Antara faktor mereka menolak membuat pengisytiharan itu termasuk enggan menyemarakkan lagi api keganasan di Asia Barat dan mahu melihat proses damai Israel-Palestin yang tergendala selama bertahun-tahun dihidupkan semula serta stabil sebelum menangani isu paling sensitif tersebut. Tindakan unilateral Trump itu mengancam masa depan Palestin kerana sebagai kuasa besar dunia, langkah tersebut dibimbangi akan menjadi ikutan sekutu-sekutunya.

Selepas Perang Dunia Kedua, kota Baitulmuqaddis terbahagi kepada kawasan barat dan timur. Rejim Zionis merampas Baitulmuqaddis Timur yang dikuasai Jordan semasa Perang Enam Hari pada tahun 1967. Baitulmuqaddis Timur menempatkan tempat suci agama langit termasuk Masjid Al-Aqsa, Tembok Barat, Kubah Batu, Gereja Holy Sepulchre dan rumah ibadat bangsa Yahudi, Haram Al-Sharif atau Temple Mount.

Berdekatan kawasan itu di Tebing Barat pula, terletak tapak kota tertua di dunia, Tembok Jericho yang berusia sekitar 8,000 tahun Sebelum Masihi, lebih tua daripada peradaban manusia di Lembah Indus dan Mesopotamia.

Tahun Sebelum Masihi merujuk kepada kelahiran Nabi Isa menurut kepercayaan penganut Kristian, manakala tahun berikutnya disebut sebagai Masihi ataupun Anno Domini yang bermaksud ‘In the Year of Lord’ dalam bahasa Inggeris, namun itu cerita lain.

Berbalik kepada kisah Baitulmuqaddis, umum mengetahui bahawa wilayah Palestin yang terpecah dua iaitu Genting Gaza dan Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis mengimpikan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Namun, bagi Israel, penguasaan terhadap Baitulmuqaddis tidak membawa apa-apa makna jika mereka melepaskan Baitulmuqaddis Timur. Baitulmuqaddis Timur amat penting bagi bangsa Yahudi amnya dan Israel khususnya kerana mereka percaya ia menempatkan tapak rumah ibadat pertama yang dibina Nabi Sulaiman.

Semasa pemerintahan Nabi Daud iaitu bapa Nabi Sulaiman kira-kira 1,000 tahun Sebelum Masihi, kerajaan Yahudi terbentang luas hingga ke perbatasan Mesir dan merangkumi sebahagian daripada Syria sekarang.

Bangsa Yahudi diusir oleh pemerintah Assyria, Sargon Ketiga sekitar 730 tahun Sebelum Masihi, manakala Maharaja Rom, Adrian sekali lagi menakluki kerajaan Yahudi dan mengusir bangsa berkenaan dari Baitulmuqaddis kira-kira tahun 135 dalam perang yang menyaksikan lebih 500,000 orang Yahudi dibunuh.

Sejak dari itu, bangsa Yahudi hidup melata di Eropah dan tempat-tempat lain termasuk suku Askhenazi. Mereka ditindas oleh pelbagai kerajaan termasuk dinasti Rusia sebelum impian untuk kembali ke Baitulmuqaddis menjadi kenyataan susulan Deklarasi Balfour pada 1917.

Barat mahu krisis Palestin-Israel diselesaikan secara damai melalui pelan penyelesaian dua negara iaitu penubuhan negara Israel dan Palestin. Namun, pengiktirafan Trump bermakna pelan damai tersebut berkubur ataupun negara Palestin merdeka yang AS maksudkan tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Perkara itu bagaimanapun tidak di luar jangkaan kerana selepas kehilangan selama 2,000 tahun, Israel tidak akan melepas Baitulmuqaddis walaupun dikenakan tekanan.