Ketika ditemui pemberita selepas upacara itu Isa berkata, beliau berazam untuk terus memperjuangkan hak dan mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli di negara ini terutama daripada segi pendidikan dan isu pemilikan tanah serta cadangan pindaan Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

"Akta 134 itu telah 66 tahun tidak dipinda jika ada pindaan, ia hanya sebahagian kecil sahaja dan ada seksyen-seksyen dalam akta itu yang terlalu umum, mungkin sebelum ini akta itu hanya membincangkan isu kebajikan Orang Asli sahaja.

"Tetapi  kini masyarakat Orang Asli sedang mengalami cabaran yang sangat besar dan pelbagai ancaman seperti gejala sosial, perubahan politik, pencerobohan tanah, dan hak-hak pendidikan Orang Asli di sekolah-sekolah tertentu, jadi kita mahu ia dipinda (dan perlu dinamik mengikut masa) bagi mencari pendekatan dan hala tuju yang lebih jelas (berhubung pembangunan masyarakat Orang Asli)," katanya.
 
Isa juga menyeru kerjasama masyarakat itu tidak mengira ideologi politik dan bersama-sama memikul tanggungjawab dalam isu pembangunan masyarakat itu yang dilihat tidak seimbang mengikut suku kaum.

"Jangan jadikan agama atau fahaman politik sebagai sempadan, kita perlu sama-sama pikul tanggungjawab ini dan tidak boleh meletakkan semua tanggungjawab ini kepada kerajaan. Jadi saya menyeru kepada cerdik pandai Orang Asli, belia-belia, mahasiswa, kepimpinan kampung menyumbang sekali bagi menangani isu ini.

"Kita tidak mahu perubahan ini diberikan kepada orang lain dan mahu Orang Asli sendiri main peranan supaya pembangunan itu lebih kepada mengikut kehendak akar umbi mereka," katanya. - Bernama