Kedua-dua pelajar tersebut merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM iaitu Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus akan bersama IRM untuk menjalankan misi itu pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Menurut IRM, konflik peperangan Bosnia-Serbia pada 1992 mengakibatkan negara tersebut masih belum mampu pulih sepenuhnya hingga hari ini.

"Lantaran itu, tujuan misi ini dilaksanakan adalah untuk membantu menggerakkan sumber ekonomi dan menjana pendapatan kepada masyarakat miskin di sana, khususnya golongan wanita dan ibu tunggal melalui projek peti pengering makanan (food dryer).

"Sepanjang berada di sana, IRM bersama dua siswa USIM akan mengajar kumpulan ibu tunggal ini secara keseluruhan tentang proses bagaimana projek pengering makanan ini mampu menjana pendapatan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut IRM lagi, beberapa unit peti pengering makanan yang akan disumbangkan kepada komuniti sasaran di sana adalah hasil sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia.

Selain itu, misi tersebut turut meliputi aktiviti terapi untuk kanak-kanak, pengedaran pek makanan dan kelas jahitan serta membuat kek.

Misi kemanusiaan tersebut menelan kos sebanyak RM65,000 dan dana yang terkumpul kini masih belum mencukupi.

Sebarang sumbangan daripada orang ramai boleh disalurkan ke IRM melalui akaun CIMB Islamic 8602073818 dengan rujukan 'GP Bosnia'. - K! ONLINE