Saddam yang dianggap sebagai seorang diktator oleh negara-negara Barat, berjaya dijatuhkan selepas serangan secara besar-besaran oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Sebelum itu, Saddam dituduh dengan pelbagai dakwaan termasuk menyembunyikan senjata nuklear dan uranium serta enggan membenarkan pemeriksaan senjata oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Saddam yang merupakan Presiden kelima Iraq mula memegang kuasa pada tahun 1979. Sejak itu, bekas jeneral tentera tersebut terlibat dalam beberapa konfrontasi dengan negara jiran.

Antaranya ialah peperangan dengan Iran bermula pada tahun 1980 hingga 1988 yang menyebabkan lebih satu juta orang terbunuh.

Tidak cukup itu, Iraq turut menyerang negara Kuwait pada tahun 1990 yang mencetuskan Perang Teluk sebelum berjaya ditewaskan dengan bantuan AS dan tentera pakatan.

Selepas ditangkap semasa bersembunyi di dalam lubang kecil di sebuah ladang pada 13 Disember 2003, beliau mula berdepan dengan pelbagai dakwaan jenayah termasuk menceroboh Kuwait dan menindas puak Kurdis sehingga dijatuhi hukuman mati pada 30 Disember 2006.

Hari ini, selepas 15 tahun Saddam kehilangan kuasa, negara Iraq masih dalam keadaan huru-hara, ekonomi yang tidak berkembang, politik tidak stabil, tiada jaminan keselamatan dan penduduk masih tercari-cari sinar kehidupan baharu.

“Dahulu saya fikir Saddam sepatutnya dijatuhkan pada tahun 1990 lagi (ketika Perang Teluk). Namun, kini saya fikir kehidupan kami mungkin lebih baik jika dia masih ada. Semua pihak yang menyertai perang di Iraq sebenarnya membantu memusnahkan kami,” kata seorang penduduk, Bilal Dhafer, 26, seperti dilaporkan Financial Times.

Bilal kematian kakak semasa tentera udara AS menyerang sasaran pejuang al-Qaeda sekali gus memusnahkan rumah mereka. Dua tahun selepas itu, bapanya pula terbunuh apabila bom yang ditanam oleh pengganas meletup berdekatan bengkel kereta miliknya di Baghdad.

Seorang lagi penduduk, Wael Al-Sallami pula berkata, pada usia 15 tahun dia menyaksikan sendiri bagaimana sukarnya kehidupan ketika Perang Te­luk. Namun, kehidupan semakin sengsara selepas Saddam berjaya dijatuhkan.

“Iraq merupakan negara kaya pada tahun-tahun 70-an dan 80-an tetapi hari ini negara-negara jiran yang lebih kecil jauh mengatasi kami,” katanya.

Begitulah nasib yang dialami oleh rakyat Iraq yang sehingga kini masih terpaksa bergelut untuk pulih daripada 1,001 masalah selepas mencapai satu kejayaan iaitu menjatuhkan Saddam.

Sementara itu, menjelang pilihan raya umum di Malaysia dengan sesetengah pihak begitu agresif berkempen untuk merebut kuasa, adalah diingatkan agar mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara luar.

Kita tidak mahu menggadaikan masa depan anak muda dan generasi akan datang dengan seribu satu janji bulan dan bintang.

Kepada para pengundi, berfikirlah dengan bijak, jangan kelak dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.