Demikian yang ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan keberanian dan kesanggupan mereka mengambil sikap sedemikian akan memberi nilai tambah bukan hanya kepada diri tetapi juga kepada keupayaan modal insan negara. 

Katanya, dunia kini bersedia untuk menerima Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang bakal menyaksikan persaingan sengit dalam guna tenaga di antara manusia dengan kecerdasan buatan atau 'artificial inteligence'. 

"Maka persaingan ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kita pada hari ini khususnya para pelajar.

"Jadi bagaimana kita mahu hadapi perkara ini. Jawapannya bukan sahaja kita perlu ada ilmu, tetapi sikap serta kesanggupan kita untuk menguasai lebih daripada satu bidang khususnya dalam aspek teknikal selain membina pengalaman yang cukup" katanya. 

Abu Bakar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi & Apresiasi Kolej Vokasional Lebuh Cator 2019 di Dewan Banquet, Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini hari ini. 

Pada masa sama, Abu Bakar turut menyampaikan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) kepada 151 pelajar yang menamatkan pengajian mereka di Kolej Vokasional Lebuh Cator (KVLC) pada tahun 2018 dan turut disaksikan oleh Pengarah KLVC, Hamid Jumari. 

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mengharapkan para ibu bapa supaya dapat bersama memainkan peranan agar tidak terlalu rigid dalam menentukan apa yang perlu dicapai oleh anak masing-masing. 

Katanya, setiap individu mempunyai kebolehan, kemampuan dan minat yang berbeza di antara satu sama lain. 

"Dengan perbezaan potensi ini, maka ibu-bapa boleh menggilap kecemerlangan anak-anak mereka untuk berjaya dalam banyak bidang. Ingatlah, setiap anak kita merupakan aset penting yang akan meneruskan perjuangan bangsa dan tanah air," ujarnya yang turut menyampaikan salam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis tersebut. - K! ONLINE