Beliau berkata ini dibuktikan apabila IPP turut menarik minat tentera udara dari Australia, Thailand dan Filipina yang mendapatkan khidmat latihan di institut berkenaan.

Difahamkan terdapat lebih 10 negara antaranya India, Brunei dan Pakistan yang turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan latihan bagi juruterbang mereka di IPP.

"Ini menunjukkan kita mempunyai kepakaran dan kelebihan berbanding negara maju yang lain.

"Selain itu, melalui IPP ini, ia secara tidak langsung dapat menyiapsiagakan anggota TUDM meliputi kesihatan mental dan fizikal, meningkatkan kemahiran dan keupayaan anggota dalam mengendalikan sesebuah pesawat," katanya  selepas melawat IPP di Pangkalan TUDM Subang.

IPP berperanan menyediakan pelbagai bentuk latihan aerofisiologi dan kaji selidik terhadap juruterbang dan anak-anak kapal TUDM.

Antara latihan aerofisiologi yang disediakan ialah 'High G Training', 'Hypoxia Indoctrination', Latihan Kerusi Anjal serta Latihan 'Spatial Disorientation'.

Lawatan kerja sehari itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara Jen.Tan Sri Affendi Buang.

Semasa  lawatan itu, Hishammuddin turut meninjau aset TUDM antaranya Helikopter Nuri (Sikorsky S-61A4)  pesawat pengangkut C130H dan pesawat pejuang Hawk 208 yang sedang melalui proses naik taraf.

"Kesemua pesawat ini sedang melalui proses naik taraf secara berperingkat yang membolehkan ia terus memenuhi keperluan pengoperasian... Ia sekali gus dapat memastikan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang udara negara berada pada tahap tertinggi.

"Di samping itu, dengan menaik taraf pesawat ini  secara tidak langsung meningkatkan semangat anggota dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dalam menjaga keselamatan negara... Saya berharap projek naik taraf ini diselesaikan segera serta memenuhi piawaian dan perancangan yang telah ditetapkan," katanya. - Bernama