Seperti dilaporkan Reuters, program pembiayaan itu nanti ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara itu menerusi agensi khasnya iaitu UK Export Finance.

Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan BAE Systems, Alan Garwood, tawaran itu juga amat kompetitif.

“Ia tawaran antara kerajaan kepada kerajaan, jadi Malaysia boleh memanjangkan tempoh bayaran semula mengikut kesesuaian,” ujarnya.

Mengikut pakej yang dipanggil sebagai Kemudahan Pinjaman Langsung ini, UK Export Finance boleh menawarkan pembiayaan sehingga £3 bilion (RM16 bilion) kepada pe­langgan luar negara bagi membuat perolehan daripada pengeksport dari negara berkenaan.

Langkah ini juga secara langsung memastikan jaminan ekosistem industri yang terlibat khususnya sektor pekerjaan sekali gus menyumbang terhadap ekonomi negara berkenaan. Dilaporkan sepanjang lima tahun lalu, agensi tersebut telah menyediakan pembiayaan sebanyak £14 bi­lion (RM77 bilion). Mengikut syarat, UK Export Finance boleh membiayai sehingga 85 peratus daripada kos perolehan.

BAE Systems merupakan antara lima firma pembekal kelengkapan pertahanan utama dunia yang mempunyai hubungan perniagaan di Malaysia sejak 50 tahun lalu. Antara kelengkapan pertahanan buatan firma ini yang digunakan ATM adalah pesawat tempur Hawk, sistem peluru berpandu pertahanan udara Jernas dan frigat KD Jebat serta KD Lekiu.

Sejak diumumkan Kementerian Pertahanan pada 2010, program pesawat MRCA bagi menggantikan pesawat MiG-29N yang dibeli pada 1993 telah diintai beberapa pemain industri. Sekurang-kurangnya 18 buah pesawat diperlukan bagi mengoperasikan sebuah skuadron MRCA.

Sepanjang tempoh itu, usaha melobi tidak putus-putus dilakukan oleh beberapa firma gergasi pertahanan termasuk Dassault dari Perancis yang menawarkan pesawat Rafale dan Saab (Sweden) dengan pesawat Gripen. Perolehan melibatkan kos kira-kira RM7 bilion me­rupakan antara pembelian pertahanan yang terbesar di rantau ini biarpun keputusan mengenainya masih tertangguh, antaranya disebabkan kejatuhan harga minyak sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ia bakal menjadi satu pembelian strategik yang cukup signifikan kepada negara khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melaksanakan transformasi pemodenan.

TUDM juga dalam fasa memperincikan calon sesuai bagi pembelian sekurang-kurangnya empat buah pesawat rondaan maritim.

Tentera Laut Diraja Malaysia pula memerlukan tiga buah kapal sokongan pelbagai peranan generasi mo­den bagi menjamin kedaulatan negara.

Bagi kalangan pemerhati pertahanan pula, tawaran United Kingdom ini muncul pada waktu yang tepat apabila dilihat bijak mengintai peluang ketika negara-negara Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan larangan eksport terhadap minyak sawit.
Untuk tempoh enam bulan lalu, komoditi ini me­nyumbang kira-kira RM22.9 bilion kepada pendapatan negara.

Berbalik kepada calon pesawat MRCA TUDM, ia dijangka diputuskan oleh Malaysia sebelum tahun 2020, iaitu hanya berbaki dua tahun dari sekarang.

Sudah pasti pemenangnya adalah pihak yang berjaya mencari ruang dan peluang.