Dalam rumusan laporan kajian rumah mampu milik yang dikeluarkan hari ini, ia menegaskan tanda aras rumah mampu milik adalah berbeza di seluruh negara dan bergantung kepada kelayakan median pendapatan peminjam di negeri-negeri.

Berikut adalah had harga yang dicadangkan Institut Rehda:
Bandar 1: Kuala Lumpur dan Lembah Klang: RM500,000
Bandar 2: Kawasan lain di Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru: RM400,000
Bandar 3: Seberang Perai (Pulau Pinang), Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan: RM350,000
Bandar 4: Terengganu, Kedah, Perak, Perlis dan Pahang: RM250,000
Bandar 5: Kelantan: RM200,000 


Menurut laporan itu, rumah mampu milik kini sedang dibina di seluruh negara, namun tiada permintaan pasaran terhadapnya dengan sejumlah 14,739 unit berharga kurang RM500,000 didapati tidak  terjual pada suku pertama 2018.

Kajian itu turut mengenal pasti sembilan masalah struktur terhadap sistem rumah mampu milik ketika ini, melibatkan persekitaran atau penggiat yang tidak sekata, dasar perumahan yang tegas, lokasi tidak sesuai dan harga tanah.

Turut dibangkitkan adalah subisidi silang yang tidak seimbang, kenaikan kos pembangunan, penggunaan sumber awam yang tidak produktif, keupayaan kewangan yang rendah untuk isi rumah berpendapatan terendah 40 peratus (B40) dan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), selain ketiadaan data pasaran perumahan.

Penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa kuota Bumiputera yang tidak terjual, tidak dilepaskan ke pasaran terbuka dan hanya mengakibatkan peningkatan kos pegangan dan keseluruhan kos pembangunan.

"Ini akan meningkatkan harga lot bukan Bumiputera berikutan kos bagi seunit rumah telah dilepaskan kepada pembeli," katanya. 

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Institut Rehda mencadangkan tanggung jawab kerajaan untuk membina rumah mampu milik manakala sektor swasta berperanan menyediakan hartanah yang didorong oleh pasaran tanpa kawalan harga dan kuota.

Ia turut mencadangkan kerajaan mengotakan janji untuk menyediakan tanah bagi tujuan sosial dan perumahan awam selain bantuan pembiayaan.
Institut Rehda akan mengumpulkan laporan penuh kajian tersebut dalam masa empat hingga lima minggu.

Sementara itu, Presiden Rehda Malaysia Datuk Seri Fateh Iskandar bagaimanapun berkata hasil dapatan kajian itu tidak mewakili pendirian persatuan tersebut.

"Institut Rehda merupakan sayap bebas Rehda Malaysia. Penyelidikan dan kajian itu juga dilakukan secara bebas," katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan kajian itu hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa  Rehda mengakui pertumbuhan perpindahan antara negeri yang ketara khususnya di bandar seperti Kuala Lumpur untuk pelbagai tujuan termasuk pekerjaan dan pembelajaran.

Malah, katanya, permintaan terhadap perumahan turut meningkat akibat faktor penghijrahan tersebut.

"Apabila ekonomi kembali pulih, permintaan terhadap rumah akan lebih ketara dan memerlukan penyelesaian untuk isu ini dan berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan kami," katanya. - Bernama