Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebab itu penyertaan pekerja tempatan dalam industri ini adalah menjadi keutamaan bagi memastikan pelaburan besar kerajaan memberi pulangan kepada negara.

Menurut beliau, perkara itu juga bersifat jangka panjang dan memerlukan sokongan daripada pihak swasta dan juga institusi pengajian.

“Misalnya menerusi kerjasama dengan syarikat pembuatan kereta api terbesar dari China, China Railway Rolling Stock (CRRC) Corp di mana kira-kira 85 peratus pekerjanya adalah warga tempatan.

“Pihak CRRC turut menghantar para petugasnya di sini ke China bagi meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang pekerjaan mereka. Ini antara proses pemindahan kecekapan yang bakal menguntungkan industri pekerjaan negara.

“Mereka inilah yang kemudian berpotensi meneroka peluang menjadi usahawan misalnya sebagai vendor senggaraan bagi pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad pada masa hadapan seterusnya mencambah peluang kerja baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Kemahiran Pekerja Tempatan di CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini hari ini. 

Hadir sama ialah Pengurus Besar CRRC Malaysia, Huang Hai dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Khalid Jali.

CRRC Rolling Stock Center ditubuhkan pada tahun 2015 dengan pelaburan sebanyak RM400 juta dan menjadi satu-satunya pusat pembuatan kereta api di Asia Tenggara dengan kapasiti menghasilkan kira-kira 200 unit kereta api dalam masa setahun.

Mengulas lanjut kata Mahfuz, kepesatan sektor pekerjaan dalam industri rel juga bakal rancak apabila kerajaan memutuskan untuk meneruskan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, dianggarkan kira-kira 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dijangka ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan projek mega infrastruktur untuk rakyat itu.

Justeru jelas beliau, rakyat hendaklah mengambil peluang untuk terbabit sama dalam projek ECRL kerana pemindahan kepakaran teknologi rel dari China dapat memberi manfaat untuk jangka panjang kepada negara.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata, pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) bakal menyuntik kira-kira 4.3 juta golongan pekerja untuk menggandakan produktiviti sekali gus meningkatkan ekonomi diri.

Katanya, PLWS adalah satu sistem yang boleh memotivasikan pekerja untuk menjadi lebih produktif dan dalam masa yang sama dapat memberi faedah kepada syarikat melalui kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ia satu mekanisme menghubungkan produktiviti dengan prestasi dan ganjaran individu berlandaskan situasi 'menang-menang' antara majikan dan pekerja.

“Pelaksanaan PLWS juga boleh dilihat sebagai inisiatif terbaik kerana sistem upah adalah berasaskan kepada produktiviti pekerja,” ujarnya. - K! ONLINE