Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan industri pelancongan Sarawak bukan sahaja diukur menerusi jumlah kedatangan pelancong malah turut merangkumi keselamatan mereka. 

“Kami mahu menjadi hos yang bertanggungjawab dengan memastikan setiap pelancong yang tiba ke Sarawak tidak ditipu oleh pihak tertentu selain berusaha mengelakkan budaya negatif seperti penyeluk saku berlaku.

“Oleh itu, kami sentiasa menasihatkan penyedia perkhidmatan pelancongan untuk sentiasa bersikap jujur dengan menyediakan pakej terbaik serta memastikan harga makanan sama seperti dibayar oleh penduduk tempatan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB), Sharzede Datu Salleh Askor.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai inisiatif dilaksanakan kementerian dalam menyediakan konsep pelancongan bertanggungjawab, Abdul Karim menjelaskan, ia merupakan satu proses pendidikan.

Katanya, setiap rakyat Sarawak perlu diasuh dengan budaya sentiasa mencintai  dan menghormati alam sekitar memandangkan ia merupakan salah satu daripada khazanah berharga negeri berkenaan.

“Sungai yang mengalir jernih, gunung-ganang dan hutan menghijau semuanya merupakan khazanah alam yang perlu ditonjolkan kepada dunia luar, kalau dirosakkan kelak, tiada apa dapat ditinggalkan kepada generasi muda,” ujarnya.

Abdul Karim menambah, cabaran terbesar dalam meningkatkan industri pelancongan di sana antaranya ialah jaringan perhubungan yang bertindak menghubungkan orang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Kita juga sentiasa prihatin dengan kadar tambang penerbangan ke Sarawak yang disifatkan sedikit mahal terutamanya apabila menjelang hari-hari perayaaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Gawai.

“Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan penting seperti meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk meneliti perkara itu atau menyalurkan bantuan subsidi tiket penerbangan,” jelasnya. - K! ONLINE