Demikian kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sesi dialong bersama penggiat seni hiburan tanah air di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini petang tadi.

Namun jelasnya, penggiat industri seni perlu memahami minat dan cita rasa pasaran luar negara bagi memastikan produk mereka dapat diterima dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja.

“Filem Korea dan Hindustan (Bollywood) orang suka tengok. Kalau kita hendak buat filem dan tayang di negara luar, kita harus tahu minat penonton di sana.

“Kerajaan boleh membantu seperti bidang pengiklanan, tetapi pada akhirnya kualiti sesebuah filem itu yang akan menentukan ia diterima di negara asing atau tidak,” kata Mahathir.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kesediaannya untuk membantu penggiat seni menyelesaikan pelbagai masalah yang dibangkitkan di sesi dialog berkenaan dengan mengusulkan di kabinet.

Masalah yang disuarakan penggiat industri seni adalah berkenaan duti hiburan, cetak rompak digital, pemotongan cukai kepada pelabur filem, eksport filem ke luar negara, kesinambungan geran pembangunan kreatif, melonggarkan pinjaman patuh syariah.

“Saya akan cuba bantu setakat yang boleh dan kalau ada apa-apa substantial seperti cukai sila beri memorandum secara bertulis supaya saya dapat faham secara mendalam untuk meyakinkan kabinet menyokong tuntutan tersebut,” ujarnya.

Antara penggiat seni yang hadir dalam sesi dialog yang berlangsung selama sejam tersebut ialah Datuk Paduka Shuhaimi Baba, Datuk Yusof Haslam, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Jamal Abdillah, Rozita Che Wan, Michael Ang, Fauziah Ahmad Daud serta wakil dari Persatuan Penerbit Filem Malaysia. - K! ONLINE