Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Khairul Nizam Mat Nayan berkata, individu yang sihat jangan sesekali mengambil makanan tambahan itu untuk penjagaan kesihatan berdasarkan diagnosis sendiri semata-mata tanpa mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar terlebih dahulu.

Beliau menarik perhatian bahawa pengambilan makanan tambahan itu yang berlebihan sememangnya tidak memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka pendek, namun dikhuatiri boleh merosakkan organ dalaman bagi jangka panjang.

"Contohnya pengambilan vitamin larut lemak seperti A, D, E, K yang berlebihan akan memberikan kesan kepada hati.

Sungguh pun vitamin-vitamin ini diperlukan oleh tubuh badan, tetapi ia sebenarnya boleh didapati dengan mudah dan mencukupi daripada makanan semula jadi yang dimakan.

"Sekiranya kita terlalu berlebihan mengambil vitamin tambahan ini, ia akan terkumpul di hati yang lama-kelamaan akan menjadi toksin sehingga menjejaskan fungsi hati," katanya ketika ditemui Bernama.

Tambahnya,  pengambilan makanan tambahan itu secara berlebihan juga boleh membebankan fungsi buah pinggang sekali gus boleh menyebabkan kerosakan organ berkenaan.

"Kebiasaannya suplemen larut air seperti vitamin C dan B yang berlebihan tidak memberikan kesan kerana ia akan dibuang melalui air kencing, tetapi dalam jangka panjang tetap akan terdapat kesan sampingan kerana membebankan buah pinggang dalam memproses vitamin ini untuk dibuang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pesakit buah pinggang tidak boleh sama sekali mengambil sebarang makanan tambahan yang dijual di pasaran sesuka hati selepas terpengaruh dengan testimoni orang lain melainkan hanya memakan ubat daripada hospital yang dipantau pakar perubatan. - Bernama