Kenyataan itu sekali gus merumuskan bahawa bekas bintang kriket Pakistan itu sememangnya bercita-cita besar untuk menjadi orang nombor satu di negara yang memikul bebanan hutang yang ‘melampau’ di dunia.

Dalam satu analisis bertajuk Imran Khan takes oath in Pakistan, a nation divided and in debt yang disiarkan akhbar The New York Times, seorang penganalisis undang-undang berkata, Imran memang seorang pemimpin yang ber­tuah. Meskipun tidak mendapat sokongan majoriti, (partinya, Tehreek-e-Insaf bersekutu dengan calon bebas untuk membentuk kerajaan campuran) beliau telah dipi­lih sebagai Perdana Menteri ekoran banyak kelebihan yang dimilikinya.

Ciri yang paling menambat hati rakyat ialah Imran dirujuk sebagai pemimpin yang bersih dengan tiada sejarah rasuah selain karisma dan personali­tinya sebagai individu yang sangat mencintai tanah airnya.

Pun begitu, figura lulusan Universiti Oxford itu tidak dapat menolak daripada mewarisi satu negara yang berdepan dengan ekonomi yang paling parah di dunia. Apa pun provokasi dilontarkan, Imran tidak goyang sebaliknya sa­ngat tenang, positif dan berterusan melaungkan ikrar mahu mewujudkan Pakistan Baharu.

Malah Imran tanpa berselindung berkata, beliau mahu mentadbir Pakistan sebagai negara kebajikan Islam seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW. Semasa kempen pilihan raya pada Julai lalu, Imran telah menggariskan banyak misi untuk ‘melahirkan’ semula negaranya.

Antaranya, lelaki kelahiran Lahore itu mahu menentang rasuah, membanteras kemiskinan dan ingin melakukan langkah penjimatan untuk mengurangkan hutang negara. Ia dimulai dengan menjual kereta kalis pelurunya, melantik dua pembantu berbanding 524 orang sebelum ini, enggan tinggal di rumah rasmi Perdana Menteri dan mengarahkan orang kaya di negara itu membayar cukai.

Pakistan yang disenaraikan sebagai negara keempat pa­ling tidak selamat di dunia bagi kaum hawa turut mendorong Imran berjanji mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi. Beliau juga mahu membantu 22.8 juta kanak-kanak negara itu yang tidak bersekolah. Statistik merekodkan, lebih 40 peratus penduduk negara itu masih buta huruf.

Namun begitu, pemerhati politik antarabangsa melihat Imran perlu memikirkan cara untuk memulihkan ekonomi Pakistan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, membaca artikel The Express Tribune Pakistan, defisit akaun semasa Pakistan yang mencatatkan rekod tertinggi, mencecah AS$18 bilion selain berdepan krisis mata wang, Imran nampaknya memerlukan strategi luar biasa untuk menstabilkan negara yang dihuni majoriti penduduk beragama Islam itu.

Adakah beliau akan melakukan langkah ‘popular’ dengan meminjam daripada Tabung Kewa­ngan Antarabangsa (IMF) atau terus men­dapatkan bantuan China (sekutu paling dipercayai Pakistan), ia masih belum diputuskan beliau.

Dari satu sudut, Imran juga mungkin pening kepala memikirkan hubungan antara Islamabad-Washington yang sememangnya telah terjejas sejak dahulu lagi. Meskipun Pakistan menolak dakwaan tidak memberi sokongan mahupun dana kepada pejuang Taliban di Afghanistan, Washing­ton seperti tidak mempercayainya.

Dalam hal ini, Islamabad mendakwa Washington telah menjadikan mereka sebagai kambing hitam untuk menutup kegagalan mereka me­nyingkirkan Taliban.

Sehari selepas mengangkat sumpah, Imran ada berkata: “Mana-mana negara yang mahu berkembang perlu berdikari.”

Itu memang benar. Namun sejauh manakah kemampuan Perdana Menteri ke-22 Pakis­tan itu? Menjadi pemimpin yang memayungi lebih 208 juta rakyat sememangnya memerlukan keberanian besar dan ia bukan satu perkara ­mudah.