Tidak kira di mana kita pergi termasuk di alam siber, pasti tiga ayat yang entah daripada mana munculnya terus popular secara tiba-tiba.

Tidak pasti daripada mana perkataan ini bermula, namun dengarnya perkataan asal ‘bossku’ ini sudah lama menjadi ayat bualan dalam kalangan orang Kelantan ketika berborak sesama mereka bagi kata ganti diri yang bermaksud ‘kawanku’.

Ada juga yang kata perkataan ‘bossku’ ini telah lama digunakan oleh rakyat di ne­geri Sabah dalam perbualan sesama mereka yang bermaksud seperti ‘bro’ atau ‘saudara’.

Walau apa pun maksud sebenarnya dan tidak kira daripada mana perkataan ini berasal, apa yang pasti ayat ini mula menarik perhatian kita selepas ia diungkapkan secara bersahaja oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu rakaman klip video ketika beliau hadir bertemu rakyat.

Penulis bukan mahu berce­rita tentang keadaan geopolitik semasa yang berkaitan Najib, mahu pun tentang aura transformasinya daripada bekas Perdana Menteri kepada ‘Raja Troll’ atau ‘Pahlawan Papan Kekunci’.

Apa yang penulis ingin tekankan di sini ialah mengenai impak fenomena ‘Malu apa bossku’ terhadap kita semua. Ada sesetengah pihak mendakwa fenomena ini boleh membawa pengaruh negatif kerana ia berkaitan dengan rekod Najib yang masih disiasat dan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak lain, mereka melihat dari sudut positif iaitu juga memberi faedah kepada rakyat Malaysia.

Bagi penulis, kalau ada perkara menguntungkan yang boleh kita ambil daripada fenomena ini ialah kelantangan Najib dalam mengkritik kelemahan kerajaan Pakatan Harapan.

Kita memerlukan suara pembangkang yang digeruni oleh kerajaan supaya mampu membela dan menjadi timbang tara demi kelangsungan hidup rakyat.

Mungkin inilah sebabnya ramai rakyat mula mengikuti perkembangan Najib kerana pendekatan yang digunakannya ketika ini mengikut peredaran semasa dan trend yang amat popular dalam kalangan generasi muda iaitu media sosial.

Perlu diakui strategi yang diguna oleh pembawa slogan ‘Malu apa bossku’ ini bukan sahaja berjaya memikat hati pengguna media sosial, malah turut mengajak anak-anak muda mengetahui serba sedikit tentang politik semasa selain menambah pengetahuan umum tentang perkara-perkara lain.

Kelebihan beliau sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun diguna sebaik mungkin untuk menyedarkan kerajaan demi kepentingan rakyat.

Ya, memang benar beliau sedang menghadapi tuduhan di mahkamah dan mungkin akan didakwa atas beberapa lagi tuduhan lain, tetapi gelombang yang dibawanya itu berjaya mewakili rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan baharu.

Kalau suara rakyat itu sendiri seperti tidak didengari oleh kerajaan, mungkin apabila Najib yang mula mencuri hati rakyat dengan slogan ‘Malu apa bossku’ ini mula melancarkan serangan, ia boleh menye­darkan sikap atau kesilapan yang dilakukan kerajaan.

Di sebalik itu, tanpa dise­dari bekas Perdana Menteri keenam ini juga berjaya memberi inspirasi kepada rakyat tentang kekuatan yang perlu ada dalam diri seseorang ketika berdepan segala masalah dan rintangan yang dihadapi tanpa mudah menyerah kalah.

Walaupun kita cuba ‘membutakan’ mata kita tentang kebaikan seseorang, namun percayalah kita juga tidak akan mampu menutup mata tentang sesuatu kebaikan atau perkara positif dalam diri seseorang.

Apa pun penulis percaya fenomena ‘Malu apa bossku’ ini hanyalah hiburan baharu dalam kalangan rakyat kita sekarang. Mungkin ada yang menilainya sebagai sesuatu yang negatif, namun jika ada yang positif tidak salah kiranya kita mendakapnya dengan ketawa.

Usahlah serius sangat memikirkan impak negatif daripada ungkapan yang menghiburkan ini. Seperti kata ikon pelawak terkenal, Charlie Chaplin: “Satu hari tanpa gelak dan tawa adalah hari yang sia-sia.”