Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 385 individu warga asing yang terdiri daripada pelbagai warganegara.

“Antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah tidak mempunyai passport dan menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar.

“Kebanyakan daripada mereka mempunyai pas pelancong, pelajar dan pembantu rumah tetapi bekerja sebagai tukang urut, peniaga dan pelayan restoran ,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Tambah Mustafar, dalam operasi yang bermula pada pukul 2.45 petang dan berakhir kira-kira pukul 4.30 petang, pihaknya turut mendapati terdapat sebilangan warga tempatan yang menyewakan premis dan perniagaan kepada warga asing.

“Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memberikan amaran kepada peniaga tempatan berkenaan tetapi masih ada yang berdegil melakukannya.

“Bagi menangani isu ini, kami sentiasa bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.

Kesemua PATI yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini untuk siasatan lanjut.

Kesemua PATI berkenaan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - K! ONLINE