Dalam operasi pada pukul 3.30 pagi itu, pasukan Imigresen yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali memeriksa seramai 65 lelaki dan empat wanita warga asing pelbagai warganegara.

Menurut Mustafar, daripada jumlah itu, seramai 28 orang termasuk dua wanita telah ditahan atas pelbagai kesalahan. 

"Siasatan mendapati lokasi serbuan tersebut terletak terlalu hampir dengan laut dan dikenal pasti dijadikan tempat transit untuk PATI masuk dan keluar dari negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafar memberitahu, pihaknya percaya PATI terlibat memasuki negara ini dengan menggunakan bot pancung yang berlepas dari Tanjung Rupat, Dumai, Indonesia, dengan kadar bayaran tambang RM600 sehingga RM1,200 seorang. 

Jelasnya, hasil soal siasat ke atas PATI yang ditahan mendedahkan penempatan tersebut kerap dijadikan lokasi transit bagi PATI yang mahu keluar dari negara ini.  

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Jabatan Imigresen mahu mengingatkan warga asing, PATI dan majikan yang ingin pulang ke negara asal supaya menggunakan kemudahan Program 3+1 (serah diri pulang secara sukarela) bukannya menggunakan laluan yang menyalahi undang-undang," katanya. - K! ONLINE