Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi yang bermula pukul 2 petang itu terdapat cubaan melarikan diri oleh pekerja warganegara asing berkenaan dan berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan dua pegawai imigresen cedera.

"Salah seorang pegawai menerima tiga jahitan di lengan akibat terkena serpihan kaca pintu premis selepas salah seorang penjaga pusat urut tersebut bertindak menghempas pintu hadapan premis dan cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

"Bagaimanapun, cubaan tersebut digagalkan oleh pegawai Imigresen dari Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) yang telah melakukan kepungan awal sebelum serbuan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mustafar, sebanyak tujuh premis yang menawarkan perkhidmatan urut badan dan seks telah digempur dan pihaknya telah menahan 24 warganegara asing atas perlbagai kesalahan

"Daripada jumlah itu, seramai 18 orang merupakan wanita warganegara Thailand, dua wanita warga Filipina dan masing-masing seorang wanita warganegara Vietnam serta Indonesia yang disyaki bekerja sebagai tukang urut selain menawarkan perkhidmatan seks.

"Turut ditahan seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis serta tiga lelaki warganegara tempatan yang merupakan pemilik dan juga penyelia bagi membantu siasatan," katanya.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 , Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Operasi yang melibatkan 47 pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas (QRT) dan PASTAK itu tamat pada pukul 6 petang dan kesemua tahanan telah diserahkan ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan.

Tambah beliau, Jabatan Imigresen sentiasa prhatin dengan aduan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta tidak akan berkompromi terhadap orang asing yang tinggal secara haram dan melakukan aktiviti-aktiviti maksiat serta pihak yang melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.

"Jabatan Imigresen akan terus komited dalam memastikan usaha berterusan membanteras PATI bagi mengelakkan rantaian pelbagai gejala sosial yang lain termasuk keroskaan moral, maksiat dan jenayah," katanya.