Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, JIM melalui pasukan elitnya iaitu Pasukan Taktikal Khas (Pastak) serta unit perisikan dipertanggungjawabkan untuk berhubung rapat dengan PDRM bagi menyalurkan maklumat-maklumat diperlukan.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam aspek perkongsian maklumat, perisikan mahupun apa jua bahan diperlukan membabitkan kemasukan warga asing dalam negara.

"Pastak dan unit perisikan imigresen dipertanggungjawabkan untuk terus berhubung dengan pihak polis dalam kes ini. Jika diperlukan sebarang data, kita juga sentiasa bersiap sedia untuk menyalurkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen negeri di Pusat Transformasi Bandar Kuala Terengganu di sini hari ini.  

Kosmo! semalam melaporkan kes pembunuhan seorang imam warga Palestin yang juga seorang pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Medan Idaman, Setapak dipercayai dilakukan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan ejen perisikan dari negara luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan maklumat polis Bukit Aman, kejadian itu disyaki dilakukan dua lelaki kulit putih yang menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW. - K! ONLINE