Ketua Indonesia-Malaysia Business Council (IMBC), Tanri Abeng berkata, lawatan itu juga memberikan kesempatan kepada Malaysia untuk menjelaskan dasar-dasar terbaharu dari kerajaan Malaysia yang menguntungkan kedua negara.

”Melalui lawatan ini, IMBC dan sektor perniagaan berharap dapat manfaat daripada Mahathir sebagai pemimpin paling veteran dan berpengalaman di dunia.

“Tujuan utama pertemuan hari ini adalah untuk membincangkan peningkatan perdagangan dan pelaburan kedua negara meliputi pelaburan Malaysia di Indonesia.

”Pelaburan Indonesia di Malaysia yang masih harus ditingkatkan, serta kerjasama kedua negara untuk perdagangan di Malaysia dan Indonesia termasuk di peringkat antarabangsa,” kata Tanri menerusi kenyataan media selepas mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Hotel Grand Hyatt, Jakarta.

Dalam rangka lawatan rasmi pertama ke luar negara selepas angkat sumpah perdana menteri 10 Jun lalu, Mahathir juga melakukan pertemuan dengan beberapa tokoh penting Indonesia dalam majlis yang dianjurkan IMBC.

Tanri menambah, hubungan erat kedua negara serumpun ini memiliki makna yang sangat penting bagi kedua-dua belah pihak.

”Sebagai contoh, nilai jumlah perdagangan kedua negara tahun 2017 mencapai 255.9 trilion rupiah (RM721.6 trilion) atau meningkat sebesar 22 peratus dibandingkan tahun 2016.

“Nilai tersebut menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia secara global dan ketiga terbesar dalam lingkup rantau Asean, selepas Singapura dan Thailand,” katanya.

IMBC adalah entiti perniagaan antara dua negara, melibatkan Indonesia dan Malaysia yang mana ibu pejabatnya di Jakarta.

Komitmen IMBC adalah untuk menjadi badan strategik dalam memberikan pandangan dan idea-idea kepada kerajaan, sektor perniagaan dan diplomatik.

Dalam masa sama, IMBC juga mempromosikan dialog untuk memahami dan meningkatkan hubungan yang lebih baik antara Indonesia dan Malaysia.

Sepanjang lawatan dua hari itu, Mahathir turut melakukan perjumpaan empat mata dan perbincangan dengan tokoh-tokoh penting Indonesia, termasuk ahli perniagan dan veteran politik. - K! ONLINE