Imam Palestin, Suhaib Mukhallalati berkata, Malaysia merupakan sebuah negara bertuah kerana umat Islam di negara ini mampu mengamalkan rutin sebagai seorang Muslim tanpa sebarang halangan.

Menurut Suhaib, umat Islam di negara ini diseru supaya sentiasa menghargai Islam sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.

"Di Palestin, kami bukan sahaja berdepan ancaman dari udara malah pelbagai sekatan tetapi umat Islam di sana masih teguh mempertahankan dan mengamalkan agama Islam.

"Masyarakat di sana (Palestin) juga berpegang teguh dengan al-Quran biarpun dalam keadaan getir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program World Quran Hour di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas di sini hari ini.

Suhaib yang dibawa oleh pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin adalah untuk melaksanakan misi jelajah ke seluruh Sabah bermula pada 1 Ramadan lalu.

Sementara itu, kira-kira 300 peserta menyertai Program World Quran Hour yang berlangsung selama sejam di masjid tersebut.

Program yang dianjurkan buat kali kedua itu turut menyelitkan aktiviti terjemahan isi kandungan setiap surah yang dibaca. - K! ONLINE