Tidak kiralah perkara itu kecil atau besar kita perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum bertindak. Lebih-lebih lagi keputusan yang dibuat itu melibatkan pihak lain.

Kebanyakan daripada kita cenderung untuk tidak berfikir panjang apabila emosi marah menguasai diri. Tidak dinafikan setiap orang mempunyai perasaan termasuk marah.

Apakah yang akan kita lakukan sekiranya marah? Adakah kita akan menyakiti hati orang lain dengan lisan atau tulisan? Adakah kita akan bertindak di luar kawalan yang akhirnya membawa kita kepada perbuatan jenayah?

Minggu lalu, kita mendapat pengajaran berguna daripada dua kisah masing-masing berlaku di Negeri Sembilan dan Kelantan. Ia melibatkan kes yang menimpa seorang pe­ngawal keselamatan yang cedera dipukul pelawak, Lan Pet Pet di Nilai.

Pelawak berusia 49 tahun itu mengaku bersalah atas perbuatannya mencederakan mangsa yang berusia 68 tahun. Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan sudah diadili dan dihukum oleh mahkamah atas perbuatannya yang dilakukan tidak sampai 5 minit.

Penulis percaya Lan Pet Pet mendapat pengajaran berharga daripada kejadian tersebut. Biarpun hukuman denda RM2,000 dianggap rendah, tetapi kejadian tersebut mencalarkan imej serta maruah dirinya serta keluarga.

Itu tidak termasuk dikecam oleh netizen lebih-lebih lagi individu yang dipukul seorang warga emas. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita.

Satu lagi kes melibatkan buruh, Mohd. Faizu Ramli, 32, yang ditampar anggota polis hingga berdarah telinga kiri.

Kejadian yang menimpa lelaki dari Tumpat itu mendapat pembelaan apabila mahkamah memerintahkan anggota polis, ketua polis daerah dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi am, khas dan teladan berjumlah RM112,040.

Mengikut fakta kes, Mohd. Faizu ditampar selepas datang menjenguk dan bertanya kepada anggota polis yang menyerbu rumah bapanya. Anggota itu dikatakan tiba-tiba naik angin dan memarahi serta mendakwa mangsa menghalang tugasnya lalu menampar telinga kiri hingga keluar darah selain mengalami masalah pendengaran.

Penulis percaya sekiranya individu dalam kedua-dua kes itu berfikir secara waras, kejadian tersebut tidak akan berlaku malah tiada yang tercedera. Setiap tindakan mempengaruhi peribadi seseorang.

Orang yang berfikir sebelum bertindak berkemungkinan besar berjaya dan begitu juga sebaliknya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan terimalah padahnya.

Pastikan akal kita mendahului lidah dan tangan. Semoga kita semua terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini.