Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, IKBN yang ke-22 itu akan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan, dibina dengan kos sebanyak RM54 juta.

"IKBN Tanah Merah diuruskan secara rasmi bermula 4 April tahun lepas dengan pengurusan latihan pertama kepada belia bermula Julai 2017 melalui kerjasama dengan industri bagi menjalankan latihan kemahiran menerusi Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan 'Bootcamp'.

"Ia dilaksanakan secara intensif selama 12 hingga 14 minggu dengan jaminan peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran membabitkan Pembuat Pakaian Wanita, Pembuat Pakaian Lelaki, Jahitan Kreatif dan Program Keusahawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan IKBN Tanah Merah di Bukit Panau di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. - BERNAMA