Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, pihaknya telah melaksanakan pemantauan di bawah Program Pemantauan Residu Akuakultur (ARMP) dan 'Sanitary and Phytosanitary' (SPS) dari masa ke semasa dan sehingga kini pihaknya mendapati tiada penggunaan makanan yang dicampur hormon dan agen pengalakkan tumbesaran diamalkan di Malaysia.

"Sehingga kini 1,059 ladang ternakan di seluruh Malaysia telah dipantau bagi memastikan ikan dan hasilan ikan bebas daripada kesan pencemaran dan selamat untuk dimakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi menjawab isu berkaitan sebuah video "Tiga Sebab Kenapa Anda Perlu Henti Memakan Ikan Tilapia" yang tular baru-baru ini. 

Video tersebut mendakwa makan ikan tilapia akan meningkatkan risiko keradangan, mengandungi bahan pencemar karsinogenik dan penyebab kanser selain terdedah kepada antibiotik dan racun perosak.

Munir berkata, tiada kajian spesifik dan laporan khusus dari badan dan pertubuhan kesihatan awam bahawa manusia yang memakan ikan tilapia yang diberi pellet yang mengandungi soya dan jagung yang diubahsuai secara genetik (GM) akan meningkatkan risiko keradangan dan kanser. - Bernama