Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan halal secara berkala terhadap ikan dan hasil ikan bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) Porsin (Porcine ID) sejak tahun 2010.

Menurutnya, pemantauan itu dibuat ke atas produk perikanan termasuk ikan, makanan ikan dan tepung ikan di seluruh negara.

"Sebanyak 846 sampel telah diambil sejak tahun 2016 sehingga tahun lepas dan hanya 4.9 peratus dikesan positif mengandungi DNA Porsin iaitu daripada makanan ikan. 

"Bagi menangani masalah tersebut, syarikat pembekal makanan ikan berkenaan telah diambil tindakan serta-merta dengan menukarkan ramuan utama (protein) kepada sumber yang halal," katanya di sini hari ini.

Jabatan itu berkata, peraturan pelabelan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009 juga secara jelas mengkehendaki setiap pengeluar makanan ternakan untuk melabelkan kandungan ramuan di dalam makanan ternakan yang mereka keluarkan. 

Menurutnya, kegagalan mematuhi ataupun menipu kandungan ramuan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan keras. 

"Sehingga kini, sebanyak 390 penternak ikan telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Pertanian Akuakultur (myGAP-Akuakultur) manakala 17 kilang makanan ikan dan 12 stor penyimpanan makanan ikan turut dipersijilkan di bawah skim Pensijilan Kualiti Ikan," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah memutuskan bahawa isu halal hanyalah dihadkan kepada barangan makanan dan barangan kegunaan peribadi sahaja dan tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia sahaja.

"Penyelidikan yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung mendapati ikan yang diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan 72 jam setelah melalui proses istihala atau pengasingan dengan tidak diberikan makan," katanya. - K! ONLINE