Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Kahalid Raja Ariffin berkata, masalah ikan mahal tersebut bukan sahaja berlaku di Terengganu tetapi ia terjadi di seluruh negara.

"Sebenarnya masalah harga ikan mahal disebabkan ia bermusim. Ada musim tangkapan banyak dan ada musim tangkapan kurang.

"Jadi, sekiranya ikan kurang pada musim tertentu, harga akan meningkat. Kebiasaannya isu musim seperti musim tengkujuh dan musim angin tertentu menyebabkan masalah ini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program jalinan kasih LKIM dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM), KD Sri Manjung bersama Persatuan Nelayan Kawasam Manjung Selatan di Jeti Kampung Nelayan Batu 1 di sini hari ini.

Menurut Raja Kahalid, bekalan ikan sejuk beku merupakan salah satu inisiatif pihaknya bagi menampung bekalan ikan yang tidak mencukupi dan berkurangan itu.

"Melalui penjualan ikan segar sejuk beku Q'Fish yang kita laksanakan sejak dulu lagi, ia dapat memberi alternatif kepada rakyat  dalam mendapatkan bekalan ikan dengan harga berpatutan," katanya.

Dalam pada itu, Raja Kahalid berkata , kerjasama dengan pihak Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) juga amat penting bagi memastikan pencerobohan terhadap sumber ikan tidak berlaku.

"Ini kerana ia menjadi punca kerosakan sumber dan menyebabkan sumber berkurangan," katanya.

Katanya ketika mengulas isu harga ikan mahal disebabkan jumlah hasil laut yang didaratkan di kompleks pendaratan dan jeti perikanan di negeri Terengganu semakin berkurangan berikutan masalah muara cetek yang berpanjangan dan kekurangan kemudahan seperti bilik sejuk.

Sementara itu, Raja Kahalid berkata, program jalinan kasih LKIM yang dilaksanakan pada hari ini akan diteruskan dalam usaha melihat kebajikan nelayan sentiasa terjaga.

"Kita akan teruskan dari semasa ke semasa dan hubungan dengan pihak TLDM juga akan diteruskan bagi memastikan isu berkaitan keselamatan nelayan apabila berada di laut terjamin," jelasnya. - K! ONLINE