Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hasan berkata, pihaknya mencadangkan insentif itu diberikan dalam bentuk perubahan skim gaji baharu bagi guru yang telah memiliki MA atau PhD untuk memulakan perkhidmatan sebagai guru.

Beliau berkata, bagi guru yang telah mempunyai MA dan PhD semasa dalam perkhidmatan pula diberikan kenaikan dua kali Hadiah Kenaikan Gaji secara tahunan mengikut tahap ijazah lanjutan mereka.

Langkah itu diharap dapat merangsang guru-guru untuk meningkatkan kompetensi diri mereka dan profesionalisme keguruan dari sudut ilmu dan kemahiran, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lepas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementerian bercadang memberikan insentif kepada guru yang melanjutkan pengajian pada peringkat MA serta PhD dan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

Mohd. Azizee berkata, iGuru turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan dapat memendekkan tempoh kenaikan gred DG41 kepada gred DG44 dalam tempoh berkhidmat selama lima tahun berbanding lapan tahun bagi guru yang memiliki MA atau PhD.

iGuru menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan itu dan berharap aspek pengalaman dan perkhidmatan guru-guru turut diambil kira untuk memastikan insentif itu benar-benar memberi manfaat kepada warga guru, katanya. - Bernama