Pemilihan Idris dibuat atas usaha dan komitmen beliau untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terbaik negara dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.38 bilion sejak tahun 2014.

Bagi Anugerah Menteri bagi kategori individu jatuh kepada Pengarah Urusan Kumpulan Asian Overland Services, Anthony Wong dan kategori organisasi diberikan kepada The Haven, Ipoh.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada majlis tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mohamed Nazri ketika berucap pada majlis perasmian tersebut berkata, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan meletakkan harapan kepada setiap negeri bersama menjayakan kempen dalam mempersiapkan negara untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020). 

"Saya melahirkan penghargaan kepada Kerajaan negeri Perak, Pahang dan Terengganu kerana menganjurkan kempen tahun melawat negeri pada tahun lalu.

"Untuk memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2020, saya berharap setiap Kerajaan Negeri dapat menjayakan kempen ke arah matlamat tersebut," katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Rashidi Hasbullah dan Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Pada pertandingan tersebut sebanyak 56 anugerah telah diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan mereka yang memberi sokongan terhadap pertumbuhan berterusan dan pembangunan industri pelancongan.

Sebanyak 665 pencalonan telah dikemukakan meliputi 14 kategori iaitu Operator Pelancongan Tempatan Terbaik, Operator Pelancongan Luar Negara Terbaik, Artikel Pelancongan Terbaik, Dokumentari dan Iklan Televisyen Pelancongan di Malaysia Terbaik, Lokasi Pelancongan Terbaik, Pakej Pelancongan Paling Inovatif, Perkhidmatan Hotel Terbaik, Pemandu Pelancong Terbaik, Pusat Beli Belah Terbaik, Rumah Penginapan Terbaik, Restoran Inovatif, Spa Terbaik, Lokasi Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik. - K! ONLINE