Keadaan itu bertambah hampir sekali ganda bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar terutama di ibu negara. Pa­ling terkesan sudah tentu mereka yang berkeluarga.

Oleh itu, tidak hairanlah ramai yang melakukan lebih daripada satu kerja terutama sekali bagi mereka yang gajinya ha­nya ‘cukup-cukup makan’ setiap bulan. Ada juga yang melakukan kerja part time sebagai bekalan untuk masa hadapan.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, mahu atau tidak kita perlu mencari jalan membuat sesuatu demi kelangsu­ngan hidup.

Penulis tertarik dengan usaha dua pemuda yang juga adik-beradik menjual jeruk mangga asam boi di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Gambar mereka menjual makanan itu berhampiran persimpangan lampu isyarat dari arah Lebuh Raya Guthrie menuju ke pusat bandar Shah Alam dengan memakai kostum petani itu menarik perhatian pengguna jalan raya. Gambar tersebut dirakam jurufoto Utusan Malaysia, Mohd. Shaharani Saibi.

Syahrol Hafizi Hamzah dan adiknya, Shahril Izwanitu yang berasal dari Terengganu akan bergerak mencari pelanggan khususnya pemandu yang memberhentikan sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Idea dua adik-beradik itu mengenakan pakaian petani itu membuatkan rata-rata pemandu menoleh dua kali dan menarik orang ramai untuk mendekati mereka sete­rusnya membeli jeruk mangga yang dijual pada harga RM10 sebalang.

Dengan kain rentang berserta iklan tanda pagar #SedapDokSedor, mereka dapat menjual hampir 100 balang jeruk mangga sehari bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.

Mereka memilih lokasi persimpangan yang banyak kenderaan dan waktu tengah hari kerana pada masa tersebut ramai yang keluar rehat untuk makan.

Penulis tak nafikan ramai yang menjalankan perniagaan menjual jeruk mangga malah pelbagai jenis makanan lagi tetapi langkah berani dua beradik ini berhasil.

Kaedah pemasaran yang digunakan adalah menjadi. Ditambah pula dengan kuasa tular media sosial masa kini yang merupakan salah satu strategi mereka melonjakkan perniagaan.

Semasa bertugas di Melaka tahun lalu, penulis lihat peniaga di negeri pelancongan itu menggunakan perkataan atau tagline seperti ‘hawau’ yang sinonim dengan penduduk negeri itu.

Perkataan ‘hawau’ itu digunakan untuk mela­riskan perniagaan seperti keria dan nasi lemak. Ada juga yang menggunakan perkataan merechik (merecik), pekat ‘melekat’ dan lain-lain lagi.

Dalam dunia sekarang, media sosial merupakan medium popular untuk memasarkan produk serta perkhidmatan. Ia bukan sahaja mudah malah kos­nya juga rendah.

Jika dilihat setiap hari, ada saja idea gila dan kreatif peniaga muncul di garis masa Facebook dan Instagram untuk menarik perhatian pengguna laman sosial. Penulis juga kadang-kadang sampai rambang mata.

Pada hemat penulis, apa jua yang dilakukan selagi tidak menyalahi undang-undang dan melampaui batas tidak mengapa me­lainkan tujuan menipu.

Yang penting dalam perniagaan untuk melangkah lebih jauh jangan pernah malu untuk mempromosikan produk dan mereka sentiasa mencari jalan untuk melangkah lebih jauh.

Jangan sesekali berputus asa atau sekadar separuh jalan seperti melepaskan batuk di tangga.

Yang penting rajin dan konsisten serta sentiasa berfikir untuk memajukan perniagaan. Insya-Allah niat yang baik Allah akan permudahkan.