Maslinda, 44, turut berasa yakin Zahirah, 23, tidak mungkin melakukan swafoto sewaktu pengebumian ibu Zul, Robiah Nasir pada 5 Disember tahun lalu seperti dinyatakan Zul, 31, baru-baru ini.

Katanya, sebagai individu yang telah dewasa, Zahirah pasti mengetahui kesan daripada perbuatannya itu terutama ketika di depan khalayak.

“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia. Saya memberi sepenuh kepercayaan agar dia terus tabah dalam berdepan dengan masalah yang dihadapi sekarang.

“Pada masa sama, saya turut bersimpati dengan keadaan Zahirah yang kini menjadi mangsa fitnah kerana ia perbuatan yang tidak masuk akal. Saya mendoakan agar dia terus tabah dan yakin Allah mengetahui segalanya,” jelas Maslinda yang kini menetap di Perth, Australia.

Dalam pada itu, Maslinda menyerahkan segala keputusan melibatkan soal pilihan hidup kepada Zahirah dan enggan mengulas lanjut mengenai punca hubungan anaknya dengan Zul berakhir.

“Biarpun tinggal berjauhan dengan Zahirah di Malaysia, namun saya sentiasa menghubungi dia untuk saling bertanya khabar.

“Saya memberi sepenuh kepercayaan bahawa dia boleh hadapi apa jua masalah yang di hadapi sekarang. Saya  saya tak akan masuk campur urusan peribadi anak-anak kecuali mereka meminta pendapat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Zul mengesahkan hubungannya dengan Zahirah telah berakhir dan mendakwa pelakon drama rantaian Duda Pujaan Dara itu tidak menghormati jenazah ibunya.

Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah Macwilson Zainol juga merupakan anak kepada aktor veteran Zainol Macwilson hasil perkongsian hidup dengan Maslinda sebelum kedua-dua berpisah sekitar November 2015. - K! ONLINE