Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika mangsa, Halifah Othman, 47, keluar membuang sampah di tepi rumah sebelum diserang reptilia dengan berat lebih 30 kilogram itu.

Mangsa kemudian menjerit meminta tolong sebelum dua anak lelakinya yang mendengar jeritan cuba melepaskan belitan dengan menarik ekor ular tersebut tetapi gagal sebelum Mohd. Rasul mendapatkan pertolongan jiran.

Beberapa jiran yang datang terus menetak haiwan itu dengan parang seterusnya melepaskan belitan ular daripada badan mangsa.

Mangsa yang cedera pada kaki, tangan dan kepala akibat digigit dan bergelut dengan haiwan berkenaan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

Anak mangsa, Mohd. Rasul Abdullah, 16, berkata, dia bersyukur kerana jiran cepat membantu dengan membunuh haiwan tersebut.

"Ular sawa batik itu dibunuh oleh penduduk kampung sebelum ditanam di kawasan kampung ini," katanya.

Tambahnya, ibunya kelihatan trauma dan lemah selepas kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 malam semalam.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim oleh orang awam dan ular telah dibunuh penduduk kampung ketika mahu menyelamatkan mangsa," katanya.

Tambahnya, kawasan rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan paya menjadi antara faktor ular sawa menghampiri rumah berkenaan. - K! ONLINE