Sebahagian besar rumah kayu yang didiami Zalifah Seman, 44 , dan anak-anaknya di Kampung Geliga Pantai dekat sini mengalami kerosakan teruk akibat dimakan anai-anai sejak beberapa tahun lalu.

"Setakat ini, kami sekeluarga terpaksa duduk berhimpit-himpit di ruang tamu kerana hanya bahagian itu sahaja setakat ini tidak rosak dimakan anai-anai.

"Ruang tamu itu juga terpaksa dijadikan sebagai dapur. Jika mahu mandi, kami perlu menumpang bilik air di rumah ibu saya yang terletak berhampiran kerana bahagian itu juga telah rosak lama," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini hari ini.

Zalifah berkata, sebelum ini dia pernah memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) difahamkan telah dibatalkan berikutan perubahan pucuk pimpiman kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Sehubungan itu, Zalifah merayu pihak berkenaan agar membantunya memperolehi rumah baru bagi membolehkan dia dan enam anaknya dapat menumpang teduh dengan lebih selesa.

"Jika tidak, kalau ada pihak yang sudi membaiki kerosakan rumah saya sekarang pun, kami sekeluarga sudah bersyukur," katanya. - K! ONLINE