Ibu saudaranya, Zarina Shuib (gambar kecil), 53, berkata, perkembangan tentang Mohd. Haziq itu dimaklumkan oleh ibu remaja terbabit, Marina Hamzah, 46, menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 2 petang semalam.

“Dia (Marina) memaklumkan Haziq belum ditemui dan tiada sebarang berita tentangnya. Kami meminta seluruh rakyat sama-sama mendoakan agar Mohd. Haziq ditemui selamat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zarina memberitahu, anak saudaranya itu seorang yang agak pendiam dan rapat dengan bapanya, Mohd. Tarmizi Shuib, 42, yang turut cedera akibat ter­kena tembakan rambang pengganas di masjid tersebut.

“Saya juga tidak dapat membayangkan betapa bimbangnya adik saya (Mohd. Tarmizi) dengan kehilangan anak kesayangannya itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, Mohd. Tarmizi kini dalam kea­daan stabil dan telah sedar selepas menjalani pembedahan membuang peluru di belakang badannya kelmarin.

Tambahnya, abangnya, Zakaria, 55, dan adik, Mariani, 49, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, akan diterbangkan ke New Zealand esok.

Media melaporkan seramai 49 terbunuh selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ala permainan video di dalam Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch yang penuh sesak dengan jemaah solat Jumaat.

Tiga rakyat Malaysia turut dilaporkan cedera akibat ter­kena tembakan, manakala Mohd. Ha­ziq dilaporkan masih hilang.

Mohd. Haziq pergi ke masjid tersebut bersama bapanya, Mohd. Tarmizi dan adiknya, Hariz.

Ketika kejadian, Mohd. Tarmizi dikatakan berlari dengan Hariz tetapi dia terkena tembakan namun anaknya itu selamat.

Bagaimanapun, Mohd. Haziq telah hilang selepas kejadian itu.