Bagaimanapun, Nik Noor Saliza Mohd. Yusof, 30, yang turut mempunyai penyakit buah pinggang tahap 4 masih mampu memikul tanggungjawab sebagai suri rumah. 

Walaupun sebelah lagi kaki kiri turut luka akibat penyakit itu, Nik Noor Saliza masih bersemangat menjalankan tugas memasak untuk dua anak, suami dan bapanya di rumah setiap hari.

Nik Noor Saliza berkata, hidupnya terseksa selepas kehilangan sebelah kaki sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pergerakannya terbatas apabila terpaksa mengengsot dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya memerlukan bantuan kaki palsu baharu kerana yang lama sudah rosak dan sukar digunakan untuk berjalan.

“Saya terpaksa menyusahkan suami dan ayah terutamanya jika mahu ke bilik air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Cerita Nik Noor Saliza lagi, dia menghidap penyakit kencing manis sejak berumur 20 tahun lagi dan semakin kritikal pada umur 27 tahun sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong. 

Katanya, selepas kaki kanan dipotong, kini kaki kirinya pula dijangkiti sehingga terpaksa menerima rawatan tiga kali seminggu di Hospital Gua Musang.

“Suami saya, Rohaizad Che Soh, 41, yang bekerja sebagai buruh jalan di Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini turut berhenti kerja memandangkan saya memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Mujurlah bapa dan ahli keluarga lain turut membantu untuk belanja dua anak berusia lima dan sembilan tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru,” katanya yang tinggal menumpang di rumah bapanya itu.
     
Tambah Nik Noor Saliza, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan namun ianya tidak mencukupi. 
     
Katanya, dia merayu simpati orang ramai untuk menghulur sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan dan penderitaan yang dialaminya itu. 
     
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga itu  boleh melakukan demikian menerusi nombor akaun Bank Islam Nik Noor Saliza bernombor 03063020353900 atau menghubungi terus di talian 010-3947647. - K! ONLINE