Wendy Andlem, 19, Chendy, 17, dan Ronal, 16, terpaksa pulang ke Kampung Chemal, Pos Belatim menaiki helikopter Agusta 019 E Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 10.20 pagi ini.

Ibu mereka, Minah Adek, 50, dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 5 pagi hari ini selepas sakit tenat.

Difahamkan, ibu pelajar berkenaan mengidap pelbagai penyakit kronik, namun tiga beradik berkenaan terpaksa meneruskan persekolahan selepas dua minggu tertangguh akibat jalan balak rosak.

Mereka bertiga telah tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra pada petang semalam.

Turut mengiringi pelajar berkenaan untuk menaiki helikopter ialah Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Nazili yang meninjau operasi mengangkut pelajar  bersimpati dengan nasib tiga beradik berkenaan yang tidak sempat memulakan sesi persekolahan baru.

“Operasi pagi ini dimulakan dengan menghantar tiga beradik berkenaan pulang ke kampung terlebih dahulu. Kita turut bersedih dengan kejadian itu dan berharap mereka semua tabah, " katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bermula semalam, Unit Udara JBPM akan  mengangkut seramai 242 pelajar Orang Asli yang terkandas di empat pos pedalaman akibat jalan rosak menggunakan dua helikopter dan operasi hari kedua diteruskan hari ini.

Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Subang, Selangor, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, operasi hari pertama mengangkut pelajar seramai 96 orang tamat pada pukul 5.10 petang.

Katanya, sebanyak 15 penerbangan telah berjaya  dilaksanakan semalam dan hari ini dijnagka akan mengangkut 126 orang lagi pelajar Orang Asli di Pos Bihai. - K! ONLINE.