Rohina Mohamad, 46, dan suami, Othman Tumpang, 51, dari Kampung Lepan Bola, Batu Gajah, Tanah Merah dekat sini sedang mencari Suwana Loman, 18, yang merupakan ibu kepada Nur Alia Nabila Abdullah, 3.

Rohina berkata, dia mengenali Suwana ketika remaja itu bekerja di sebuah kedai makan di Tanah Merah dan menawarkan anak yang dalam kandungan kepadanya dan suami.

"Kami menanggung kos bersalin kanak-kanak itu berjumlah RM1,800 selepas Nur Alia lahir di Hospital Tanah Merah pada 3 Mac 2015.

"Suwana bersama bayinya seberat 3.2 kilogram itu kemudian berpantang di rumah saya selama 28 hari dan kemudian meninggalkan rumah saya sejak hari itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia memerlukan Suwana sebagai proses pengambilan Nur Alia sebagai anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendaftarnya ke sekolah nanti.

"Sekiranya dia membaca berita ini dan ada sesiapa yang mengetahui lokasi Suwana saya mohon mereka menghubungi kami di talian 019-9707 080 atau ke rumah kami di Tanah Merah," katanya. K! ONLINE