Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mangsa, J. Sumathi, 45, ditemui tergantung pada sebuah bilik gymnasium bahagian bawah manakala anak bongsunya, K. Arathhinee, 10, meninggal dunia dengan kesan cedera pada leher di sebuah bilik tingkat atas rumah teres dua tingkat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, kejadian itu disedari suami mangsa berusia 45 tahun selepas pulang daripada kerja.

"Suami mangsa kemudiaannya menghubungi pihak polis dan ambulans sebelum kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isteri mangsa ditemui tergantung dalam bilik gymnasium bahagian bawah manakala anaknya ditemui tidak bernyawa di sebuah bilik atas rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, hanya mangsa dan anak perempuannya sahaja berada di rumah manakala suaminya keluar bekerja serta dua lagi anak lelakinya berusia 16 dan 19 keluar membeli kelengkapan persekolahan di Tampoi.

Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa bertindak demikian dipercayai tertekan dengan penyakit kanser yang dialaminya.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - K! ONLINE.