Itu yang diharungi oleh segelintir ibu bapa di sebuah sekolah rendah agama di sebuah daerah di ne­geri Selangor dan mereka tetap sabar menanti biarpun adakalanya sedikit merungut memandangkan rimas kerana lama menunggu.

Menurut seorang rakan penulis, rata-rata yang me­nunggu terdiri daripada kaum ibu yang menggunakan motosikal untuk menjemput dan menghantar anak mereka ke sekolah.

Rakan penulis memberitahu, pernah sekali dia me­nunggu hampir setengah jam sebelum anaknya keluar dari kelas.

Setelah diselidiki, katanya, guru yang mengajar pada ketika itu tidak membenarkan murid-murid keluar daripada kelas kerana terdapat dua rakan mereka yang masih belum menyiapkan kerja sekolah.

Selepas kerja sekolah itu disiapkan barulah murid-murid dibenarkan pulang.

Dia kemudian mengadu perkara itu kepada pihak sekolah kerana baginya tidak adil semua murid dihukum atas kesalahan orang lain.

Apa yang paling dikesalkan, jelasnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit dan perkara itu masih berulang.

Perkara ini sebenarnya menyusahkan ibu bapa yang menunggu di luar sekolah memandangkan mereka mempunyai banyak lagi urusan lain yang hendak dilakukan lebih-lebih lagi bagi yang bekerja.

Terdapat juga kaum ibu yang terpaksa meninggalkan kerja-kerja memasak buat seketika semata-mata ingin menjemput anak pulang dari sekolah.

Jika anak yang dijemput keluar 10 atau 15 minit lambat, ini sudah tentu memberi tekanan kepada si ibu dan melambatkan urusan untuk menguruskan rumah tangga.

Terdengar juga rungutan segelintir kaum ibu yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini dengan mengatakan, sepatutnya guru menepati waktu mengajar yang ditetapkan.

Guru berkenaan tidak perlu memanjangkan tempoh pembelajaran hingga 10 atau 15 minit kerana setiap orang yang datang menjemput anak mempunyai ba­nyak lagi urusan ingin diselesaikan.

Bagi mereka, jika murid keluar lambat lima minit tidak mengapa, tetapi jika lebih daripada itu memang menyusahkan.

Lagipun, mereka terpaksa berpanas dan berhujan di luar sekolah memandangkan di kawasan berkenaan tidak ada pokok untuk berteduh dan keadaan ini amat merimaskan mereka.

Bukan mahu menyalahkan guru-guru dalam hal ini, tetapi sepatutnya mereka perlu merancang dengan teliti dengan tidak membiarkan ibu bapa menanti lama dalam keadaan panas dibakar matahari di luar kawasan sekolah.

Apa yang penting dalam hal ini, setiap individu ter­utamanya guru-guru perlu memahami keperluan dan pekerjaan orang lain kerana setiap orang mempunyai urusan berbeza.

Jika ini dapat dilakukan, tidak akan timbul lagi ketidakpuasan hati sesetengah pihak dalam perkara ini.

Masalahnya, kita selalu menyamakan urusan dan kepentingan setiap orang adalah sama tanpa memikirkan kesusahan dan keperitan yang perlu dilalui oleh sesetengah pihak.

Perlu dingat, ada orang yang perlu segera ke satu-satu tempat selepas mengambil dan menghantar anak ke sekolah.

Jika lambat, kerja-kerjanya akan tergendala dan menyusahkan pihak lain yang berurusan.