Menurut baginda, anak-anak yang dilahirkan dalam keluarga harmoni akan melahirkan keluarga dan masyarakat madani.

"Justeru, ibu bapa perlu lebih bijak menangani cabaran ini. Berilah kasih sayang dan sentiasalah dengar luahan hati mereka," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah merasmikan sambutan Hari Ibu dan Bapa peringkat kebangsaan di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut hadir.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, ibu bapa haruslah memiliki akhlak mulia supaya dapat dicontohi oleh anak-anak mereka.

Baginda menasihatkan supaya anak-anak diterap dan dipupuk dengan nilai-nilai agama sejak kecil supaya mereka membesar dengan iman dan taqwa.

"Bagi anak-anak saya menyeru supaya sentiasa harga jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka,. Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, kerap-keraplah ziarah mereka," tambah baginda. - Bernama