Satu hari, anaknya yang berumur tujuh tahun itu membawa pulang sekeping surat daripada guru yang memohon ibu bapa menyumbangkan satu rim kertas A4. Ini kerana menurut sekolah, mereka tidak mempunyai peruntukan untuk membeli kertas ber­kenaan.

Kertas A4 itu adalah untuk kegunaan urusan pentadbiran sekolah, surat makluman dan edaran, program-program sekolah dan lembaran kerja pelajar. Ternyata ia ‘suasana baharu’ yang perlu ditempuh ibu bapa pada masa ini.

Ini kerana kata rakan penulis, sebelum ini anak sulungnya yang turut bersekolah di situ tidak pernah mendapat permintaan sebegitu. Perkara itu khabarnya telah dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru disebabkan tia­da lagi peruntukan diberikan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Bukan itu sahaja, seorang rakan penulis yang mana anaknya bersekolah di sekolah menengah juga meluahkan perasaan apabila perlu mengeluarkan bayaran yang tinggi untuk anaknya yang mengikuti aktiviti luar sekolah.

“Guru terpaksa guna duit poket sendiri untuk duit minyak membawa pelajar ke perlawanan sukan peringkat zon dan sebagai­nya. Itu tidak termasuk lagi duit makan dan minum pelajar-pelajar ketika ke sesuatu perlawanan,” keluh rakan penulis ini.

Katanya, ibu bapa perlu menanggung sepenuhnya kos aktiviti berkenaan berbanding sebelum ini ia ditanggung secara bersama dengan pihak sekolah.

Menurut rakan penulis, mereka bukanlah merungut tidak boleh mengeluarkan belanja namun ia satu fenomena baharu berbanding sebelum ini.

Melihat situasi itu, rakan penulis berkata, dia terfikir bagaimana guru-guru melaksanakan agenda pendidikan dengan kedudukan kewangan pada masa kini.

Sukar, pastinya sangat sukar. Pihak sekolah dan guru-guru juga pasti sakit kepala memikirkan cara bagaimana menggunakan peruntukan yang diberi kerajaan sewajarnya tanpa membebankan mana-mana pihak.

Ia belum lagi perlu melayani soalan-soalan ibu bapa yang bertanya itu dan ini, mahukan penjelasan mahupun mempersoalkan kewajaran jumlah bayaran yang diminta serta program yang diadakan.

Ibarat bawa RM50 ke pasar pagi tetapi mahu beli ikan parang, udang, ketam dan sotong. Sudah tentu tidak cukup.

Kepada pihak sekolah, usah bimbang, penulis pasti ibu bapa berlapang dada untuk membantu, usahkan satu rim, bagi yang berkemampuan pasti akan menyumbang lebih. Jangan dijadikan isu ini panas kerana apa yang diminta pastinya untuk kemudahan pelajar dan kecemerlangan pelapis negara.