Gambar yang dikongsi olehnya itu turut dikongsi Dr. Nur Amalina Che Bakri yang merupakan pihak yang berusaha membawa kanak-kanak itu melalakukan rawatan di negara tersebut.

Selain mereka, Perdana Menteri turut bergambar dengan pasukan doktor yang terlibat dalam merawat adik Ainul.

“Alhamdulillah. Selain Tun Dr Mahathir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pun pernah bertemu kami sejurus kami tiba di hospital pada hari pertama.

“Mereka semua mendoakan yang terbaik buat Ainul Mardhiah,” katanya.

Mahathir semalam menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London.

Beliau sebelum ini dalam lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) sejak Jumaat lalu.

Pada masa sama, Ahmad Safiuddin turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi kerajaan termasuk Pusat Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan wakil rakyat yang banyak membantunya serta keluarga dalam urusan pembedahan Ainul Mardhiah.

“Tidak ketinggalan juga (ucapan terima kasih) kepada doktor yang merawat Ainul sebelum ini, NGO (badan bukan kerajaan), ahli korporat, rakyat Malaysia dan pihak lain yang banyak membantu memudahkan urusan kami.

“Tiada kata lain boleh kami katakan, tanpa mengira fahaman, agama dan bangsa, anda semua membuat satu perkara yang baik dan mulia di sisi Tuhan. Tuhan akan mengira setiap usaha baik tuan/puan yang dilakukan di akhirat kelak,” tulisnya di laman sosial Facebook hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua doktor (Malaysia dan UK) kerana mereka semua adalah insan yang sentiasa mahukan yang terbaik buat Ainul.

Ainul Mardhiah, bayi sembilan bulan yang menghidap Germ Cell Tumour selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London pada 10 Jun lalu. - K! ONLINE