Majlis yang berlangsung sederhana itu melibatkan pasangan pengantin Maimunah Osman, 56, dengan Mohd. Daud Abdullah, 61, serta anak Maimunah, Heiri Romanzah Djapri, 34, bersama isterinya, Azlina Abdul Jaba, 39.

Mohd. Daud yang merupakan seorang peneroka di Felda Jengka 19 berkata, dia mengenali Maimunah Osman sejak tiga bulan lalu menerusi kumpulan sembang di aplikasi Whatsapp.

"Sejak perkenalan itu, saya berhasrat mengenalinya lebih dekat setelah mendapat tahu Maimunah seorang janda memandangkan saya sudah menduda empat tahun setelah isteri meninggal dunia kerana sakit.

"Saya memberanikan berjumpa dengannya di bandar ini untuk mengenalinya lebih dekat lagi kerana saya berhasrat mencari teman hidup baharu," katanya.

Menurutnya, setelah hubungan mereka semakin erat, mereka berdua membuat keputusan untuk berkahwin yang turut disokong oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Maimunah pula berkata, dia tidak menyangka bertemu jodoh dengan Mohd. Daud dan bersyukur dengan takdir Allah.

"Ini perkahwinan saya yang ketiga setelah kedua-dua suami sebelum ini meninggal dunia akibat sakit," ujarnya.

"Saya gembira hubungan kami direstui oleh anak-anak dan adik-beradik masing-masing malah mereka bergotong-royong mengadakan majlis kenduri kami," jelasnya.

Sementara itu, Heiri Romanzah berkata, dia tidak menyangka majlis perkahwinannya dapat dilangsungkan bersama ibunya.

"Ini detik paling manis dalam hidup saya yang akan dijadikan kenangan terindah dan berharap agar hubungan kami kekal hingga akhir hayat," katanya. - K! ONLINE