Penahanan itu membuktikan ketangkasan pihak polis membongkar kegiatan ibu dan anak tersebut apabila suspek pertama ditahan pukul 1 pagi tadi di Kulim, Kedah sejurus polis menerima laporan kejadian itu tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 57 tahun di hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech.

"Soal siasat awal mendapati suspek mengaku anak perempuan sulungnya yang berumur 28 tahun terlibat dalam kes menyembunyikan kelahiran sebelum dia menyuruh anaknya itu meninggalkan bayi perempuan tersebut di kawasan masjid itu semalam. 

"Suspek yang berasal dari Kulim tersebut merupakan seorang balu yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang cucu perempuan," katanya di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, sejurus wanita tersebut ditahan, pihak polis turut menahan ibu bayi berkenaan ketika menerima rawatan di Hospital Kulim, Kedah kerana komplikasi akibat uri yang tertinggal.

"Suspek merupakan ibu tunggal yang kematian suami pada 2015 dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 6 tahun. 

"Hasil siasatan mendapti bayi yang dibuang itu adalah dikatakan hasil hubungan sulit suspek dengan seorang Lelaki," katanya lagi.

Menurut Noorzainy, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, akhbar melaporkan jemaah Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini terkejut apabila menemui kotak berisi seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan di kaki lima masjid ketika jemaah sedang bersiap menunaikan solat Zuhur kira-kira pukul 1.15 petang semalam. - K! ONLINE