Seramai 359,065 wanita yang terdiri daripada suri rumah, balu dan ibu tunggal yang berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) antara yang layak mengambil bahagian dalam fasa pertama i-Suri. Mereka akan mendapat sumbangan kerajaan sebanyak RM40 sebulan yang diberikan setelah pene­rima menunjukkan komitmen caruman minimum RM5 sebulan dalam akaun KWSP masing-masing.

Menurut statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu dan 28,116 ibu tunggal yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar layak menerima insentif kerajaan tersebut.

EKasih merekodkan data mengenai kemiskinan bermula daripada profil individu, program atau bantuan yang diterima oleh ketua isi rumah (KIR) dan ahli isi rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program atau bantuan yang di­terima.

Komponen data eKasih terdiri daripada maklumat asas KIR dan AIR, lokasi kediaman, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, pemilikan harta, kesihatan, pendapatan serta bantuan.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah pendapatan isi rumah yang ditetapkan oleh Unit Pe­rancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebagai pengukuran kepada status kemiskinan bagi sesuatu isi rumah yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Pengukuran PGK Tahun 2014, yang diguna pakai mulai 1 September 2015, me­nunjukkan PGK isi rumah miskin bagi tahun 2014 di Semenanjung Malaysia adalah RM940, Sabah dan Labuan (RM1,170) serta Sarawak (RM1,040).

Isi rumah miskin tegar pula ­masing-masing adalah RM580, RM690 dan RM700.

Oleh itu, jelas menunjukkan betapa pentingnya i-Suri disasarkan kepada golongan yang benar-­benar layak menerima sokongan yang memboleh­kan mereka menikmati manfaat sama seperti kira-kira 14 juta ahli KWSP lain termasuk dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun serta bantuan hilang upaya dan kematian.

Skim itu dijangka diperkembangkan ke fasa dua pada tahun hadapan apabila sumbangan kerajaan ditambah kepada RM50. Selain sumbangan bulanan RM40 ke dalam akaun KWSP, tambahan RM10 akan dimasukkan ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila pindaan dibuat bagi memastikan suri rumah turut mendapat perlindungan yang disediakan.

I-Suri akan memasuki fasa ketiga apabila dua peratus daripada caruman KWSP suami dimasukkan ke dalam akaun isteri me­reka.

Namun, usaha itu akan mengambil masa memandangkan pindaan perlu dibuat ke atas Akta KWSP 1991.

Apabila insentif tersebut dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada minggu lalu, tentunya ramai wanita yang tergolong dalam segmen tertentu di negara ini ingin mendaftar bagi menerima manfaat tersebut.

Lebih teruk apabila terdapat penularan dalam media sosial mengenai cara untuk memohon eKasih tanpa menjelaskan kelayakan individu dalam sistem membasmi kemiskinan negara berkenaan.

Sikap tidak bertanggungjawab itu akan menyusahkan pelbagai pihak terlibat dan mungkin melambatkan lagi proses bagi mereka yang benar-benar layak.

Oleh itu, sekiranya anda ingin memohon skim i-Suri, lihatlah kelayakan ­ma­sing-masing.

Berilah pada mereka yang betul-betul layak menerima dan tidak mengikut tular di media sosial secara semberono tanpa mengetahui butiran kelayakan.