Presiden Peka Malaysia, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, seramai 2,000 peserta dijangka menyertai program itu pada kali ini dan menyasarkan sebanyak 1,000 batang pokok hutan ditanam oleh peserta sepanjang acara itu berlangsung.

"SORR 2018 kali ini akan bermula dan berakhir di Kem Pelangi Hill Resort melibatkan laluan sejauh 15 kilometer. Terdapat pelbagai aktiviti menguji minda peserta di beberapa check point yang akan memberi pendedahan kepada peserta terhadap kepentingan hutan hujan tropika di negara ini.

"Seperti di tahun-tahun sebelumnya, visi utama SORR 2018 adalah mendedahkan dan memberi ilmu kepada peserta berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan pada Oktober lalu bagi membincangkan kerjasama untuk menerapkan pendidikan mengenai alam sekitar dalam sukatan pelajaran.

Katanya, pihaknya menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan alam sekitar sebagai mata pelajaran di sekolah dalam usaha meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar termasuk hutan tropika di negara ini. - Bernama